Isnin, 13 Julai 2009

Apabila Islam Tidak Dinobatkan Melayu

Saya memilih posting kedua ini dengan mengambil topik paling mudah mengenai orang Melayu khususnya mengenai pemikiran politiknya. Politik Melayu memang cukup hebat. Jika kajian antropologi menunjukkan Melayu adalah satu rumpun bangsa yang unik dan tersendiri, ia ada asasnya. Betapapun demikian, orang Melayu memang hebat dalam beberapa sudut tertentu. Sebelum kedatangan agama Hindu dan Buddha, orang Melayu hidup secara animisme. Islam yang datang kemudian telah menghapuskan nilai-nilai negatif Melayu yang penuh dengan kepercayaan karut dan amalan spiritual yang tidak keruan itu. Sesiapa yang membaca tulisan sarjana tempatan seperti Prof. Syed Hussein al-Attas,[1] Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Hood Salleh,[2] Prof. Syed Husin Ali[3] dan sebagainya akan memahami siapa itu Melayu dalam perspektif yang berbeza-beza.

Perangai dan perwatakan Melayu berubah secara drastik apabila disuntik dengan Islam. Islam membawa zaman baru kepada rumpun Melayu. Ia bukan sahaja mengubah rupa dan bentuk Melayu tetapi merombak jiwa Melayu itu sendiri, meminjam ungkapan Prof. Syed Naquib al-Attas dalam syarahan terulungnya di UKM pada tahun 1972[4] yang akhirnya menjadi asas penubuhan IBKKM, UKM.

Sejak Merdeka sehingga kini kaum Melayulah yang mendominasikan politik tanah air. Sama ada orang Melayu berjuang sesama Melayu menentang penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris, ataupun melalui unit politik UMNO menumbangkan Malayan Union, mahupun bersama parti MCA dan MIC dalam Perikatan sehinggalah kepada konsep Barisan Nasional kini, Melayu tetap hebat berpolitik. Dan Melayu terus berjaya mengekalkan identiti politiknya dengan berperdanamenterikan seorang Melayu yang beragama Islam. Atas perjuangan besar Melayu-Islam UMNO itu, terpahatlah Perkara 3 dalam perlembagaan negara yang menyatakan “Islam adalah agama rasmi negara”. Demikianlah kesannya kuasa politik Melayu. Persoalannya; sampai bila kuasa itu dapat dipertahankan? Sehingga PRU-13?

Cuba kita teliti kepada mainstream politik Melayu-Islam selain UMNO, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS). PAS adalah sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai asas tunjang dan haluan poltiknya. Bermula dari tahun 1951 sehinggalah kini, PAS telah banyak kali memberikan harapan dan opsyen kepada pengundi Melayu untuk memilih parti politik Melayu-Islam selain UMNO.[5] Tahun 1999 memperlihatkan PAS mendapat perhatian dan sokongan bukan saja daripada pengundi Melayunya, tetapi juga daripada pengundi bukan Melayu bahkan daripada penyokong UMNO itu sendiri yang telah bangkit marahkan UMNO. Berlakunya “perubahan hati” di kalangan pengundi Melayu bukan saja di kampung-kampung dan pedalaman di kawasan stronghold PAS, bahkan di bandar-bandar utama di seluruh negara terutama di kalangan pengundi baru daripada generasi muda.[6]

Melayu tidak dapat dipisahkan daripada komponen agamanya, yakni Islam. Agama Islamlah yang melengkapkan jatidiri individu bernama orang Melayu. Tanpa Islam, orang Melayu hilang arah. Buktinya, orang Melayu yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya akan mudah menjadi penipu. Orang Melayu menjadi penipu ketika menjadi murid sekolah dengan gejala ponteng dan samseng. Penipu ketika menjadi kakitangan dan pegawai awam dengan mengamalkan rasuah dan menipu kontrak kerajaan. Penipu ketika menjadi ahli politik apatahlagi sebagai Menteri. Itu baru satu daripada beberapa ciri buruk yang dikutuk Islam yang dimiliki orang Melayu selain hasad dengki, mudah mengaibkan orang, tidak memenuhi janji, kuat mengungkit kisah lampau, kedekut dan sederet lagi. Kita tidak kata bangsa lain di Malaysia tidak memiliki sifat-sifat buruk ini. Kita nak tumpukan kepada orang Melayu yang bergama Islam.

Jika orang Melayu bergama Islam dengan beraninya mudah menipu, tidak berkata benar dan mudah berbohong walau dengan apa alasan sekalipun, bukankah itu menandakan siMelayu itu tidak mengamalkan Islam sepenuhnya? Bukankah itu juga tandanya siMelayu yang beragama Islam melakukan satu perbuatan yang amat dimurkai oleh Allah Ta’ala? Bukankah perbuatan itu seolah-olah melakukan sesuatu kononnya manusia tak akan tahu, tetapi lupa dengan sifat Allah SWT Yang Maha Tahu?

Dan beberapa minggu kebelakangan ini kita lihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) , Mursyidul Am PAS telah berbolak-balik kata dan tingkah lakunya. Sekejap beliau memarahi Timbalan Presiden PAS dan menuduhnya ingin membawa PAS kepada UMNO melalui unjuran Unity Government (UG). Peliknya Unity Government adalah idea Presiden PAS tetapi yang kuat dihentam malah disuruh masuk UMNO dan meninggalkan PAS ialah Timbalan Presiden. Lebih teruk daripada itu, kerusi Parlimen Bachok yang dimenangi oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa dicabar oleh TGNA supaya dikosongkan! Ini menimbulkan persoalan di kalangan pendokong PAS dan juga masyarakat umum. Kenapa TGNA tidak mampu mengawal diri dan terlalu personal lalu menganggap seluruh politik di Kelantan itu seolah-olah miliknya? Kenapa beliau terlalu Kelantan-centric? Namun beberapa hari kemudiannya apabila TGNA ditegur oleh beberapa kalangan menafikan pula bahawa beliau menyuruh Ustaz Nasharudin mengosongkan jawatan Timbalan Presiden yang dimenanginya dalam Muktamar baru-baru ini. Bolehkah seorang Tok Guru berbohong sedemikian rupa hanya kerana telah diberi title “Tok Guru” oleh masyarakat?

Ada blogger yang menyatakan bahawa TGNA masih tidak dapat menerima hakikat calon proksinya, Husam Musa dan sederetan calon-calon dari Kelantan lainnya gagal mendapat perhatian daripada para Muktamirin. TGNA naik berang lalu meraban tak keruan.[7] TGNA sekali lagi buat silap dalam menilai ketidakhadiran Ustaz Nasharudin ke Manek Urai apabila isu itu dimainkan oleh Khairy Jamaludin dengan begitu cekap semasa kempennya. Tanpa meneliti fakta sebenar, TGNA “terlepas cakap” lagi, memarahi media dan dikatakan beliau “tidak tahu menahu” bahawa Badan Perhubungan PAS Kelantan yang bermesyuarat pada 25 Jun 2009 memutuskan supaya Ustaz Nasharudin tidak datang berkempen di Manek Urai. Lebih pelik lagi, TGNA dalam kenyataan medianya pada 12 Julai 2009 telah menyambut komen Presiden PAS sebelumnya berkaitan PAS yang tidak mahu menutup pintu untuk berbincang dengan UMNO, dengan menyatakan perbincangan yang dibenarkan hanyalah perbincangan tentang agama tetapi bukannya perbincangan yang menyentuh hal ehwal politik.[8] Kita percaya, jika tidak kerana Manek Urai, sudah pastilah Tok Guru Presiden juga ditegur olehnya, sebagaiamana yang pernah dilakukannya sebelum ini mengenai isu muqabalah dan Unity Government dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Timbul satu persoalan menarik - sejak bilakah agama dipisahkan daripada elemen politik dalam PAS? Bukahkah di atas sebab itulah UMNO dan Barisan Nasional ditentang habis-habisan sejak tahun 1951 sehingga kini? Yang lebih pelik lagi – kenapakah pendokong dan pemimpin PAS lainnya yang rata-ratanya berpendidikan tinggi dalam bidang agama pelbagai cabang ditambah dengan sederetan golongan cendekiawan dan profesional, dari PhD dalam pelbagai bidang hingga ke mahasiswa di menara gading – diam seribu bahasa! Benarkah ahli PAS berpegang kepada amalan hadith Nabi SAW bahawa jika ternampak kemungkaran, cegahlah dengan tangan jika mampu, jika tidak, dengan lisan dan jika tidak mampu juga, cegahlah di dalam hati? Benarkah mereka memilih kaedah “fa bi qalbihi”, yakni dengan hatinya, sedangkan dalam fiqh ‘amal jama’iyy yang begitu kuat dilaungkan dalam blog-blog pendokong PAS, pemimpin yang silap mesti ditegur sebagaimana Sayyidina ‘Umar sanggup ditegur dengan pedang oleh para sahabat! Sikap PAS yang sedemikian telah mengakibatkan pihak UMNO, BN malah masyarakat umum mudah berkata: “itu retorik PAS semata-mata. Jika Mursyidul Amnya boleh berbohong, jika Presidennya yang mengaku melontar idea Unity Government boleh memarahi dan menyalahi media menggembar-gembur Unity Government, apatah lagi pemimpin dan pendokongnya…….!”
Inilah hakikatnya apabila kita mencabut Islam daripada batang tubuh kita yang bergelar Melayu! Tidak kira daripada Melayu jenis yang mana. Masalahnya, kita terlalu kuat pertahankan kumpulan kita, politik kita. Oleh sebab terlalu mengakui kita ini benar dan yang lain daripada kumpulan kita tidak betul, yang salah daripada kitapun kita tegakkan. Yang benar lagi betul yang bukan darpada kitapun, kita tolak. Sesungguhnya Islam yang kita kata kita sokong dan perjuangkan, tidak seperti yang kita amalkan sepenuhnya. Jika beginilah teruknya kita berpolitik, jika politik dan kuasa telah merosakkan kita, bermakna kita belum bersedia untuk berpolitik secara Islam. Suasana dan bahang politik telah menenggelamkan keimanan kita. Itu kita belum ambilkira berapa banyak prinsip dan hal ehwal Islam yang telah kita longgarkan kerana kita menjaga hati sekutu dan kawan-kawan lain dalam DAP dan PKR di Pulau Pinang, Perak, dan Selangor!

Kembalilah kepada Islam. Jika Manek Urai kekal di tangan PAS namun prinsip Islam tergadai sebegini rupa, apakah kita akan terfikir Allah SWT masih meredhai usaha kita yang penuh pembohongan…….? Hatta jika kita menang PRU ke-13 sekalipun dalam keadaan kita bergelumang dengan pembohongan, apakah bezanya kita daripada UMNO dan BN yang kita tentang sebagai pembohong? Apakah sebenarnya nilai kemenangan itu dan di manakah prinsip “membina Islam di atas runtuhan jahiliyyah” yang kita pelajari daripada para ulamak? Sesungguhnya Islam mesti dinobatkan sepenuhnya sebagaimana yang sepatutnya.
Ingatlah bahawa Allah SWT itu Maha Adil dan pada masa yang sama seksaan Allah itu amat pedih………

Pendukung Islam
12 Julai 2009


Nota Kaki:

[1]Lihat tulisan beliau dalam The Myth of a Lazy Native, London: Frank Cass and Co. Ltd, 1977.
[2]Beliau adalah pakar antrpologi dan sosiologi yang mengkaji orang-orang asli Melayu.
[3]Orang Melayu – Masalah dan Masa Depannya, Kuala Lumpur: Penerbintan Adabi Sdn. Bhd., 1979
[4]Lihat magnum opus awal beliau mengenai peranan Islam di Alam Melayu dalam Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Bangi: Penerbit UKM, 1972.
[5]Sila lihat Nasharudin Mat Isa 50 Tahun Mempelopori Perubahan – Menyingkap Kembali Perjuangan PAS 50 Tahun, Kuala Lumpur: Parti Islam SeMalaysia, 2001 dan juga The Islamic Party of Malaysia (PAS) – Ideology, Policy, Struggle and Vision Toward the New Millenium, Kuala Lumpur: PAS, 200
[6]Sila lihat kajian menyeluruh mengenai kesan PRU-10 oleh Kamaruddin Jaffar dalam Pilihanraya 1999 dan Masa Depan Politik Malaysia, Kuala Lumpur: IKDAS Sdn. Bhd., 2000.
[7]Lihat umpamanya blog popular Mohd. Sayuti Omar dalam http://msomelayu.blogspot.com/.
[8]Lihat Sinar Harian, m.s. 2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan